BIODATA IMAM BADI’U ZAMAN SAID NURSI
Antara Ulama Khilafah Islamiah
Beliau dilahirkan pada tahun 1877M dan wafat pada tahun 1960M pada umur mencecah 85 tahun yang dihabiskan kesemuanya dalam berjihad, menuntut ilmu, mengajar dan mendidik. Beliau menghafal seluruh al-Quran dalam tempoh dua minggu sahaja, dan menghafal 90 jilid daripada kitab-kitab ilmu Islam dalam pelbagai bidang dengan kelebihan ingatannya yang amat kuat dan unggul.
Dengan kecerdasan akalnya yang tajam, beliau menyempurnakan pengajian yang mengambil masa lima belas tahun di madrasah persendirian di bawah kerajaan Uthmaniah. Beliau berjaya mendapatkan sijil akademik yang menyamai pengajian doktor falsafah pada masa kini. Ini kesemuanya berjaya dicapai oleh beliau dalam tempoh umurnya tidak melebihi 14 tahun. Belum sampai umur beliau 14 tahun, sebutan dan nama beliau telah masyhur dalam kalangan ulama Turki. Beliau dikenali dengan kekuatan hujah, ilmu yang mendalam dan teguh, melebihi setiap orang yang berdebat dan berhujah dengan beliau.
Beliau menguasai dengan baik bahasa Arab, Parsi, Turki dan Kurdi. Penulisan beliau adalah menggunakan bahasa Turki, namun tiga kitab penting ditulis langsung dengan bahasa Arab yang tinggi nilai sasteranya. Beliau turut belajar falsafah barat secara mendalam dan kritis. Kerap kali beliau menyebut dalam tulisan beliau perbandingan yang terperinci dan mendalam antara falsafah barat dan hikmat al-Quran serta ketamadunannya. Beliau mahir dalam banyak bidang ilmu moden di samping ilmu-ilmu Islam, kerana beliau yakin bahawa ilmu-ilmu ini amat penting untuk menyampaikan Islam kepada pemahaman zaman moden.
Beliau menulis 14 jilid ensiklopedia yang mengandungi 130 artikel tentang isu-isu penting berkaitan Islam dengan gaya bahasa moden yang tersendiri dan menarik. Beliau menghimpunkan antara keaslian ilmu dan pemikiran serta keseriusan dan jenaka yang santai. Beliau menjelaskan dengan terperinci dalam karyanya penyakit yang paling besar pada abad ini iaitu kelemahan iman. Untuk mengubati penyakit ini, beliau cuba menanam rukun dan hakikat iman terutamanya tauhid, hari kebangkitan dan kerasulan, dengan mengemukakan dalil-dalil mantap yang mampu mengalahkan orang kafir yang paling ingkar dan mendiamkan mereka. Daripada aspek lain, beliau turut membatalkan dan menolak falsafah ateisme seperti ideologi kebendaan dan naturalisme dengan hujah-hujah tuntas. Beliau menggunakan seluruh usahanya dan menumpukan seluruh fokus untuk mengangkat keimanan yang kuat dan teguh dan kesedaran yang berpandukan al-Quran dan Sunnah yang mulia dalam dunia Islam.
Tulisan beliau kesemuanya bertitik tolak daripada al-Quran, dengan ilham dan panduan ayat-ayat suci dan maknanya. Dengan menjalani kehidupan dalam kondisi rohani dan jiwa yang suci, beliau membacakan kepada penulis dan penyalin yang berada di sisinya segala curahan ilmu yang dibukakan oleh Allah dengan kelajuan yang pantas. Hal ini bukanlah terikat pada masa dan tempat tertentu. Kitab-kitab yang ditulis beliau berkaitan dengan tajuk ini ialah tafsiran maknawi bagi hakikat-hakikat al-Quran.
Kebanyakan tulisan beliau ditulis sama ada di penjara atau dalam buangan. Tulisan-tulisan tersebut diterjemahkan kepada lebih 30 bahasa dunia, dan menerima sambutan yang baik disebabkan rahsia keikhlasan dan rabbaniah yang meliputi dan terangkum dalam tulisan tersebut.
Ramai daripada orang Eropah dan lainnya memeluk Islam dengan sebab membaca tulisan beliau. Surat dan kenyataan Vatican telah menyebut bahawa dalam tempoh enam bulan sahaja seramai 18,600 orang Barat telah memeluk Islam disebabkan Risalah al-Nur.
Beliau turut menyertai Perang Dunia Pertama sebagai ketua bagi angkatan tentera melawan Rusia. Beliau telah ditawan oleh Rusia selama dua tahun di kota Kostroma di utara Rusia.
Beliau merupakan orang pertama yang mendirikan gerakan Islam di Turki baharu yang diasaskan setelah kejatuhan Khilafah Uthmaniah selepas Perang Dunia Pertama. Beliau teguh melawan kerajaan sekular yang menghapuskan sistem khilaf Islam, pada saat ketika sebarang penonjolan keislaman menuntut pengorbanan yang amat tinggi. Namun, jihad beliau ini bukanlah melalui pintu pertelingkahan politik secara langsung, bahkan beliau mengikut dalam usaha jihadnya panduan Nabawi dan melalui penyebaran tulisan-tulisan ilmiah beliau yang membela hakikah Iman dan al-Quran secara langsung. Beliau telah mendidik dan mentarbiahkan ratusan ribu murid. Pelbagai bentuk kezaliman dan penyeksaan yang dikenakan ke atas beliau tidak mampu mendudukkan beliau daripada jihadnya secara maknawi.
Beliau telah menjalani kehidupannya setelah berumur 50 tahun (iaitu selama 34 tahun) dalam keadaan yang tidak dapat dibayangkan dengan pelbagai bentuk cacian, penghinaan, penyeksaan, pengawasan, penjara dan buangan. Beliau pernah diracun 21 kali dengan helah daripada pihak musuh dan lawan disebabkan beliau cuba menghidupkan Iman dalam diri umat Islam dan hati mereka.
Beliau tidak terselamat daripada kesukaran dan penyeksaan sehinggalah ke hembusan nafasnya yang terakhir, bahkan juga setelah meninggal dunia. Kubur beliau dibongkar oleh pemerintah negara setelah tiga bulan dikebumikan, lalu dibawa jasad beliau ke tempat yang tidak diketahui.
Ramai yang menggolongkan beliau dalam kalangan ulama, pemikir dan pembaharu zaman tersebut. Bahkan ada sebahagian mereka menganggap beliau sebagai mujaddid abad itu dan selepasnya (abad ke-20 dan 21).