Apakah Risalah An-Nur satu Karya Tafsir?

Published by admin on

Soalan: Apakah Risalah An-Nur adalah satu Karya Tafsir?

Jawapan: Risalah An Nur adalah sebuah karya tafsir, namun memandangkan ia berbeza dengan kebiasaan kitab tafsir, sesetengah mengatakan ia bukanlah sebuah tafsir.

Secara ringkas, Ilmu Tafsir ditakrifkan sebagai usaha membongkar, menghuraikan dan menzahirkan isi kandungan dan makna-makna al-Quran yang terselindung dan tersembunyi.

Imam Ghazali menyamakan al-Quran dengan lautan yang tiada pantainya. Di dasarnya pula terdapat mutiara, yakut dan permata yang tidak terhitung. Ilmu tafsir pula ialah ilmu yang mengeluarkan mutiara dan hakikat yang tersembunyi itu. Dari sudut ini setiap kitab yang membahaskan perincian dan hakikat-hakikat al-Quran adalah sejenis tafsir. Sehingga kini dalam dunia Islam banyak karya yang bertujuan sebegini telah ditulis. Badiuzzaman Said Nursi menerangkan bahawa Risalah an-Nur merupakan sebuah tafsir dalam bentuk seperti berikut:

“Oleh sebab kami berulang kali telah mengatakan bahawa Risalah an-Nur ialah tafsir al-Quran yang kuat dan benar dan oleh sebab sebahagian orang yang cuai tidak memahami makna keseluruhannya, maka saya telah memutuskan untuk menghuraikan satu hakikat. Hakikat itu ialah: Tafsir ada dua bahagian.

Bahagian Pertama: Tafsir-tafsir yang dimaklumi. Tafsir-tafsir tersebut menjelaskan, menerangkan dan membuktikan ungkapan al-Quran, makna kalimah dan ayat-ayatnya.

Bahagian Kedua: Menerangkan, membuktikan dan menjelaskan hakikat-hakikat keimanan dalam al-Quran dengan hujah-hujah yang kukuh. Bahagian ini mengandungi kepentingan yang sangat banyak. Sesetengah tafsir maklum yang masyhur memasukkan bahagian ini secara ringkas. Tetapi Risalah an-Nur menjadikan bahagian kedua ini sebagai asas secara berterusan. Risalah an-Nur ialah tafsir maknawi yang mendiamkan ahli falsafah dalam bentuk yang tiada bandingannya.”

Juga melalui takrifan penulis, “Risalah an-Nur yang kebanyakannya lintasan dan hasil galian al-Quran yang datang kepada hati dengan limpahan dan bantuan al-Quran, secara jelas adalah satu burhan (bukti) yang terang bagi al-Quran; satu tafsiran yang kuat, satu kilauan mukjizat maknawinya yang terang, satu titisan bagi lautan itu,  satu sinaran bagi matahari itu dan satu terjemahan maknawinya yang diilhamkan daripada sumber ilmu hakikat dan datang  daripada limpahannya.” (Sinaran, Altınbaşak Pub, V2, p.545)